Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau telah bertemu Roisah, 20, bagi menawarkan peluang menyambung pelajaran di UUM.

Menurut Idris, Roisah, yang turut menerima beberapa tawaran belajar yang lain, gembira dengan tawaran yang diberikan kerajaan itu namun meminta sedikit masa untuk membuat keputusan terbaik bagi dirinya.

"Selain tawaran itu, kita juga akan memastikan pelajar cemerlang bukan berstatus warganegara itu diberikan taraf kerakyatan untuk memudahkan proses seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program #Keeping In Touch Wanita KPT Bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta beberapa naib canselor wanita universiti dan barisan kepimpinan tertinggi wanita di kementerian tersebut.

Ketiadaan dokumen kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan Roisah, bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun memperoleh 3A dan 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ibu Roisah merupakan warga asing manakala identiti bapanya tidak diketahui. Beliau dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.

Sementara itu, mengulas sama ada bilangan pelajar wanita yang lebih ramai di universiti mengancam lelaki melanjutkan pelajaran ke menara gading, Idris berkata enrolmen 62 peratus pelajar wanita di universiti ketika ini diseimbangkan dengan bilangan pelajar lelaki yang lebih tinggi di politeknik dan kolej komuniti.

"Kita memang mencari jalan untuk mewujudkan keseimbangan enrolmen berdasarkan jantina di universiti tetapi atas faktor tertentu seperti pencapaian akademik ia belum dapat direalisasikan.

"Namun begitu, keseimbangan gender boleh dilihat jika mengambil kira keseluruhan bilangan pelajar lelaki yang lebih ramai berada di politeknik dan kolej komuniti berbanding pelajar wanita," katanya.

Menurutnya, enrolmen wanita berbanding lelaki di politeknik adalah pada kadar 48.1 peratus manakala kolej komuniti sebanyak 41.7 peratus. - Bernama