Exco Kelab Persatuan dan Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, Syed Mohamad Shahfiq Syed Mohd. Suhaimi berkata, idea menggabungkan kedua-dua IPTA tersebut agak mengejutkan kerana ia tidak pernah dibincangkan secara terbuka dengan pemegang taruh terutama golongan pelajar sebelum ini.

"Putrajaya (Kementerian Pendidikan) tidak boleh membuat keputusan bagi pihak pelajar dan universiti kami, di mana (slogan) 'Student Empowerment' (Pemerkasaan Pelajar) yang dilaung Kerajaan sebelum ini?.

"Mengapa keputusan ini tidak dibincangkan bersama dahulu dengan wakil pelajar kedua-dua buah universiti?. Saya gesa kerajaan supaya membuat penilaian semula ke atas keputusan yang boleh dianggap terburu-buru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syed Mohamad Shahfiq berkata,  idea penggabungan itu sukar direalisasikan kerana UMT memberi penekanan kepada kelautan dan sains marin manakala UniSZA pula berasaskan nilai-nilai Islam dan Sains.

Sementara itu, MPP UMT difahamkan akan menganjurkan himpunan pelajar besar-besaran bagi membantah cadangan Kementerian Pendidikan di kampus UMT, Kuala Nerus pada esok.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan Kabinet secara prinsip bersetuju dengan penggabungan UMT dan UniSZA pada 4 September lalu dan satu jawatankuasa khas berhubung cadangan itu sedang dibentuk. - K! ONLINE