Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, pelajar berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam selepas motosikal yang ditungganginya itu tidak mempunyai rekod pemilikan (rekod tidak wujud) sebelum ianya disita untuk pemeriksaan.

"Pelajar itu juga cuba melarikan diri sebaik melalui lorong motosikal di plaza tol tersebut untuk pulang ke rumahnya dan apabila diminta kad pengenalan dan lesen memandu dia juga gagal mengemukakannya.

"Buat masa ini, motosikal yang katanya dipinjam daripada bapa saudaranya itu kita sita dan pelajar itu kita lepaskan selepas ujian air kencing mendapati dia bebas daripada pengambilan dadah," katanya di sini, hari ini.

Dalam operasi tersebut, seramai 23 pemandu dan penumpang kenderaan turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan seramai enam lelaki tempatan berumur 19 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu. - Bernama