Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata hanya menerusi langkah pembabitan penggiat industri tempatan, dapat membantu meningkatkan harga bahan mentah berkenaan.

"Ketika ini, harga itu bergantung kepada kuasa pasaran antarabangsa. Atas alasan ini jugalah harga komoditi kita adalah rendah pada masa ini," katanya dalam temubual dengan Bernama di sini hari ini.

Setakat semalam, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 adalah 529.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal adalah 405.50 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 adalah 531.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal 406.0 sen sekilogram.

Bagi minyak sawit, harganya sekitar RM2,187 sehingga RM2,218 satu tan.

Selain itu, mengulas perbezaan harga minyak sawit dan getah antara Semenanjung dan Malaysia Timur, Teresa berkata, ini disebabkan oleh beberapa faktor berkaitan.

"Salah satunya adalah cukai dan kos yang dikenakan oleh pihak berkuasa selain kos pengangkutan dari ladang ke kilang," katanya.

Mengulas pelaksanaan gaji minimum, beliau berkata, aspek itu merupakan satu dasar negara dan memerlukan beberapa sesi perundingan dengan pelbagai pihak terbabit.

"Pada masa ini, penggiat industri perlu membayar lebih RM1,500 bagi seorang pekerja asing termasuk levi," katanya.

Baru-baru ini, syarikat perladangan Sime Darby Plantation Bhd. berkata, cadangan menaikkan upah minimum kepada RM1,500 akan mengundang kesan buruk terhadap industri perladangan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan meningkatkan kos tenaga kerja kepada jumlah kos pengeluaran sebanyak 35 peratus berbanding 26 peratus ketika ini. - Bernama