Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Ahmad Muhaimin Fathil Suhairi, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal Kampung Datok Keramat itu sedang dalam perjalanan menghala ke ibu kota.

"Tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa tidak sempat mengelak sebuah lori yang berada di hadapannya sebelum melanggar kenderaan berat berkenaan di bahagian belakang.

"Pemandu lori berusia 24 tahun itu kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum menyedari mangsa yang tersepit di dalam kenderaan yang melekat di belakang lorinya," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Hasron Nazri, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Japan 1987," katanya. - K! ONLINE