Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Faizal Ab Razab, 34, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun 11 bulan di pusat pelancongan di Raub sebanyak dua kali iaitu antara 12.30 malam hingga 1 pagi, 8 Disember lalu dan antara 11.30 malam, 9 Disember hingga 8 pagi 10 Disember lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa meliwat mangsa antara pukul 1 pagi hingga 8 pagi, 9 Disember lalu di lokasi sama dan dituduh mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang menetap di Cyberjaya datang ke pusat pelancongan itu untuk berkelah bersama-sama anggota keluarganya selama lima hari telah ditarik ke pondok dan bilik persalinan pakaian oleh tertuduh.

Perbuatan tertuduh hanya terbongkar selepas mangsa membuka mulut sebulan selepas kejadian apabila didesak oleh ibu bapanya yang menyedari perubahan ke atas dirinya setelah pulang daripada berkelah.

Terdahulu, tertuduh yang menundukkan muka sepanjang prosiding berlangsung memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan dia kesal dengan perbuatannya itu serta perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak serta membantu seorang adik yang menuntut di universiti awam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma. – Bernama