Dalam kejadian pukul 7 pagi itu,  V. Kannan, 30an, parah di bahagian pinggang dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam namun dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila dua suspek masing-masing berusia 37 tahun memasuki pusat servis kenderaan tersebut dengan menaiki kereta jenis Volkswagen Passat.

Katanya, mangsa dan seorang pengurusnya berusia 42 tahun tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan suspek adalah pelanggan. 

"Seorang daripada suspek dikatakan telah memasuki ke dalam pejabat pusat servis itu sebelum mencuri kunci kereta jenis Volkswagen Jetta milik pelanggan sebelum membawa kenderaan tersebut. 

"Mangsa dikatakan cuba menghalang sebelum dilanggar dan digilis oleh kenderaan dibawa suspek itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, kenderaan suspek itu bagaimanapun berjaya dihalang di laluan keluar bengkel dengan seorang daripadanya diberkas pekerja pusat servis itu. 

Baharudin menambah, semakan mendapati suspek yang berjaya ditahan mempunyai empat rekod masing-masing berkaitan dadah dan mencuri kenderaan selain positif syabu. 

"Sehubungan itu, kita masih mengesan rakan suspek iaitu Darma Suria Risman Salleh, 37, yang beralamat di Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. 

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nurul Al Shakinaqaiyum Alladin di talian 0102480065 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A  dan 307 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE