Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, lelaki berusia 45 tahun itu terjatuh dalam lubang sedalam 2.13 meter sebelum tersekat dalam selut tanah liat sehingga ke paras pinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat BBP Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba Sahidallah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.39 petang.

Katanya, sepasukan 11 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Sebaik sampai, mangsa masih dalam keadaan tersekat dalam selut tanah liat selepas terjatuh ke dalam lubang berkenaan.

"Seterusnya, kami memberi bantuan oksigen menggunakan alat bantuan pernafasan kerana mangsa mengadu mengalami kesukaran  untuk bernafas" katanya.

Sahidallah yang juga bertindak sebagai Komander Operasi memberitahu, anggota bomba terpaksa mengorek tanah liat di sekelilingnya bagi mengeluarkan mangsa.

"Kami mengambil masa sekitar 40 minit untuk mengeluarkan mangsa kerana kerja-kerja mengorek tanah liat di sekeliling mangsa itu perlu dilakukan dengan berhati, bimbang mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berjaya dikeluarkan dari lubang tersebut kemudiannya dibawa ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. - K! ONLINE