Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, M. Ganesh, 54, yang putus tangan hingga paras bahu itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi dekat sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mengawasi pergerakan sebuah konveyor yang berfungsi mengasingkan bijih besi.

"Terdapat bijih besi yang tersangkut pada besi pedati dan mangsa cuba mengeluarkannya sebelum tangan kirinya tiba-tiba digilis sehingga terputus.

"Seorang rakan yang terdengar jeritan mangsa terus bergegas membantunya serta membawa tangan kiri yang putus itu ke Klinik Kesihatan Bukit Besi," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut Baharudin, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di klinik berkenaan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Katanya, mayat mendiang kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini bagi tindakan lanjut dan isterinya yang tinggal di Lorong Seri Inderapura, Kuantan, Pahng juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. - K! ONLINE