Tertuduh, M. Nalan, 31, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Silmus Ati Bere, 34, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Tukang di sini antara pukul 6 petang hingga 7.30 malam, 26 Jun lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan S. Pavitra dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang telah berkahwin diwakili peguam, N. Nagaratnam.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Kosmo! Online pada 27 Jun lalu melaporkan satu mayat lelaki dipercayai warga asing yang disyaki dibunuh ditemui di tepi jalan Batu 37 Jalan Bukit Selambau-Jeniang berhampiran ladang kelapa sawit kira-kira pukul 7 pagi.

Pemeriksaan pihak forensik mendapati mayat mempunyai kesan kecederaan pada atas kening sebelah kanan dipercayai dipukul dengan objek tumpul selain luka kecil di bawah mata kiri. - K! ONLINE