Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 7.42 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, isteri mangsa memberitahu, suaminya, Abu Bakar Ahmad, 46, keluar menjala ikan pada pukul 6.30 petang dan tidak pulang ke rumah walaupun telah malam.

"Anggota kemudiannya melakukan pencarian di dalam sungai bermula dari lokasi dia menjala sehingga ke hulu sungai sebelum menjumpainya di dasar sungai tersebut dalam keadaan terbelit jala pada pukul 11.50 malam," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohd. Subri, mayat mangsa ditemui dari jarak 2.5 kilometer dari lokasi pencarian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan orang kampung itu tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam," katanya. - K! ONLINE