Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut pada pukul 6.10 petang semalam memaklumkan dua kilang perabot terbakar secara keseluruhan.

“Susulan panggilan tersebut, seramai 25 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Damansara dan Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di sana, didapati api sedang marak dan anggota bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 6.46 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham menambah, ketika anggota memadamkan baki api tersebut pada pukul 2.20 pagi tadi, pemilik kilang itu memaklumkan bahawa seorang pekerjanya, Tee Chey Yong, 32, tidak dapat dikesan.

“Pihak bomba kemudiannya menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Selangor untuk mengesan mangsa di dalam sisa kebakaran itu.

“Rangka mangsa yang rentung telah dikesan pada pukul 8.20 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kebakaran itu masih dalam siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan penemuan rangka mangsa berkenaan.

“Rangka mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. - K! ONLINE