Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian pada pukul 2.25 petang itu, mangsa, Al Banjar Abraham, 21, yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna hitam merah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian tersebut, bas RapidKL yang dipandu dari arah pusat bandar menuju ke Ampang telah dilanggar oleh mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia tidak lama kemudian manakala pemandu bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah video yang tular di laman media sosial menunjukkan motosikal yang dipandu mangsa telah termasuk ke bawah bas tersebut manakala mangsa pula tercampak ke jalan berhampiran dengan bas itu.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian. - K! ONLINE