Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa, Puuan Panjang, 43, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan dalam perjalan dari arah Jalan Usaha Jaya menuju ke Jalan Muara Tabuan 2 di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di simpang jalan tersebut, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa yang bekerja di Kilang Elektronik Taiyo Yuden di sini.

"Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan pada anggota badannya, manakala pemandu Nissan Navara tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu Nissan Navara berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. - K! ONLINE