Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu yang dibuat oleh pengadu iaitu majikan mangsa yang berusia 51 tahun.

“Majikan mangsa memaklumkan bahawa pekerjanya yang berusia 18 tahun telah dicabul oleh pembantu perubatan berkenaan.

“Mangsa dikatakan telah pengsan dan dibawa ke klinik berhampiran kira-kira pukul 7.30 malam untuk menerima rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Selayang dengan menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Arsad menambah, setibanya di hospital, mangsa sambil menangis memberitahu pengadu bahawa dia telah dicabul oleh pembantu perubatan di dalam ambulans tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa berada dalam keadaan yang sedar tetapi sangat lemah.

“Dia kemudian dihampiri suspek yang bertindak mencabul mangsa. Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang,” ujarnya.

Suspek yang berusia 22 tahun itu telah direman selama enam hari bermula kelmarin hingga 27 April ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Sekseyn 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. - K! ONLINE