Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Saiful Bakhtiar Mustafa, 38, dikatakan sedang menjalankan kerja menyusun besi di rak simpanan sebelum ia jatuh lalu menghempapnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnijahar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.05 tengah hari.

Sebaik panggilan diterima, sebuah jentera dengan kekuatan 12 anggota telah dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

"Setibanya di lokasi pihak bomba mendapati seorang lelaki terperangkap di bawah timbunan besi dan sedang menanggung kesakitan selama hampir sejam.

"Pihak bomba terpaksa mengambil masa selama 15 minit mengorek tanah untuk mengeluarkan mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Rozizah berkata mangsa yang berasal dari Seberang Takir telah di bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani rawatan lanjut. - Bernama