Ketua Pendaftarnya, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar berkata, laporan itu dibuat pada 5 Mac lalu selepas pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang awam yang mahu membuat pengesahan berhubung emel, panggilan telefon dan WhatsApp yang diterima meminta mereka membuat pemindahan aset untuk membuktikan tidak bersalah.

“Penipuan ini kami kesan sejak pertengahan tahun lalu, tapi semakin kerap berlaku sekitar bulan November dan terbaru pada 5 Mac lalu.

"Susulan itu, satu laporan polis terbaharu dibuat oleh Pengarah Bahagian Strategik, Inovasi, Naziran dan Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Azhaniz Teh Azman Teh untuk siasatan pihak polis,” katanya.

Menurut Latifah, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menghantar dokumen palsu melalui emel, aplikasi WhatsApp serta panggilan telefon secara rambang.

"Contoh  kekerapan penipuan yang berlaku adalah mahkamah dikatakan mengeluarkan perintah penangkapan dan pembekuan aset mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Dadah Berbahaya 1952 yang meminta mangsa merahsiakan panggilan mereka bagi mengelakkan gangguan ke atas siasatan polis.

"Mangsa seterusnya diminta untuk memindahkan aset kepada Jabatan Audit Negara untuk membuktikan bahawa mangsa tidak bersalah," katanya.

Menurut beliau lagi, dokumen yang diberikan kepada mangsa tersebut menggunakan kepala surat seakan-akan kepala surah pejabat PKPMP beralamat Istana Kehakiman.

“Dokumen palsu dikatakan telah ditandatangani secara digital oleh Timbalan Ketua Pendaftar 1 (Operasi), Sabariah Othman dan Dora yang kononnya Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaysia, Istana Kehakiman yang mana jawatan tersebut tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, pihak mahkamah tidak sewenang-wenang membuat panggilan telefon dan menghantar dokumen melalui emel dan aplikasi WhatsApp kepada orang awam.

“Selain pejabat PKPMP turut membuat laporan polis ialah Penolong Pegawai Undang-Undang Mahkamah Kuching, Sarawak, Dora Anak Undau selepas mendapati namanya turut digunakan secara jelas oleh pihak sindiket.

“Kami memandang serius kejadian ini dan orang ramai boleh hubungi talian 03-88803663 jika ada sebarang kemusykilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut. - K! ONLINE