Sambil menyuarakan rasa kesal terhadap penyebaran berita palsu itu, pejabat Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Abang Johari tidak pernah berbuat sedemikian.

"Pihak pejabat ini mahu menjelaskan bahawa Ketua Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang ultimatum (amaran) kepada Petronas walaupun adalah menjadi tanggungjawab Petronas untuk mematuhi undang-undang negeri ini sebagaimana syarikat lain yang berminat dengan prospek dan perlombongan di Sarawak.

"Beliau (Ketua Menteri) juga sentiasa menekankan bahawa Sarawak akan bekerjasama dengan Petronas menerusi syarikat minyak yang baru ditubuhkannya, PETROS dalam sektor minyak dan gas di Sarawak berdasarkan ketetapan undang-undang dan Perlembagaan.

"Berita palsu itu adalah sesuatu yang amat dikesali," kata pejabat itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi paparan media sosial bertajuk 'Ultimatum to Petronas, Get Licence or Get Out,' (Kata Dua kepada Petronas, Dapatkan Lesen atau Keluar) yang tersebar itu, Ketua Menteri Sarawak didakwa memberi kata dua kepada Petronas bahawa syarikat tersebut perlu mendapatkan lesen di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 untuk beroperasi di Sarawak. - Bernama