Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu telah mengakibatkan pejabat dua tingkat milik kerajaan negeri ini musnah terbakar 100 peratus.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Limbang, Edmund Dmahai Amboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.31 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan 10 anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan pejabat berkenaan.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati dua kakitangan pejabat berkenaan berjaya menyelamatkan diri, manakala empat pekerja lain kebetulan tidak berada di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Edmund memberitahu, pasukannya bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba pada jarak 100 meter.

Katanya, kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian dan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Buat masa ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan," ujarnya lagi. - K! ONLINE