Peguam Kanan Persekutuan, Maisarah Juhari memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Sebli, bahawa Pejabat Peguam Negara yang mewakili perayu (Mohamed Apandi) telah memfailkan notis pemberhentian mengenai rayuan itu semalam dan telah menyerahkannya kepada peguam-peguam responden (Guan Eng) pada hari yang sama.

"Kami tidak meminta sebarang perintah berhubung kos," kata Maisarah.

Guan Eng yang kini Menteri Kewangan diwakili peguam Mervyn Lai.

Hakim Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md. Sam kemudian membatalkan rayuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Mohamed Apandi mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember 2017 yang membenarkan permohonan Guan Eng untuk mengetepikan perintah yang diperoleh beliau (Mohamed Apandi ) untuk memulakan prosiding komital terhadap Lim. - Bernama