Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom berkata, afidavit yang mendedahkan maklumat itu telah difailkan oleh Pejabat Peguam Negara atas arahan Peguam Negara.

"Alasan untuk memfailkan afidavit itu ialah Peguam Negara berpendapat beliau selaku seorang pegawai mahkamah, berkewajipan untuk memberitahu mahkamah hal yang sebenar mengenai maklumat berkaitan wang sebanyak RM9.5 juta itu," kata beliau.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah mengarahkan Zureen untuk memperjelaskan kedudukan kerajaan berhubung rayuan tersebut selain afidavit yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara itu.

Zureen, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan rayuan Presiden PKR yang dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk menghidupkan semula samannya terhadap kerajaan Malaysia berhubung sabitan kes liwat terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan. - Bernama