Tertuduh, M. Pannirselvam, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang itu didakwa telah menjalankan perniagaan pemberi wang tanpa lesen sah dengan memberikan pinjaman sebanyak RM6,193,160 kepada seorang lelaki berusia 50 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Besar, Pekan Kapar di sini pada 15 Mei 2014 hingga 6 November 2015.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda hingga RM1 juta atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

"Sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh dijamin, maka jaminan ditawarkan sebanyak RM300,000 dengan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran," katanya.

Tertuduh diwakili Peguam K. Nathiya membantah berikutan wang ikat jamin tersebut yang diumpamakan seperti satu hukuman.

"Saya memohon jaminan RM5,000 berikutan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada empat orang anak dan isterinya yang merupakan suri rumah.

"Anak guam saya juga bekerja peguam," jelasnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes pada 4 September depan. - K! ONLINE