Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Mazlan Embong, 57, yang juga merupakan Ketua Teknikal Bahagian Pembahagian TNB Dungun dikatakan rebah selepas 15 minit berada di dalam gelanggang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa sedang bermain badminton bersama tiga lagi rakannya dan dipercayai rebah ketika sedang mengambil servis.

“Seorang rakan cuba memberi bantuan pernafasan kepada mangsa selepas melihatnya rebah sebelum menghubungi pihak hospital.

“Sepasukan anggota perubatan dari Hospital Dungun yang tiba tidak lama kemudian memeriksa mangsa dan mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Kejadian tersebut merupakan kes kematian selepas bermain badminton kedua dalam tempoh dua hari di Terengganu.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang jurutera sebuah syarikat memproses minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman ditemui me­ninggal dunia di tepi keretanya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain badminton dengan rakan-rakan.

Mayat Juriza Muda, 36, ditemui pada pukul 9.30 malam oleh pasukan polis peronda di tepi kereta Proton Wira miliknya di Kampung Nyior, Bandar Paka di sini. - K! ONLINE