Dalam kejadian pukul 5 petang itu bagaimanapun tiada kecederaan dialami oleh pegawai polis berusia 32 tahun yang bertugas di Bukit Aman bersama keluarganya.

Sumber berkata, pegawai polis tersebut bersama isteri, anak kandung dan saudara serta ibu mertua dikatakan sedang menikmati makan dan minum di sebuah gerai pada penganjuran pesta tersebut. 

Katanya, bagaimanapun mereka secara tiba-tiba telah dikepung 10 individu bersenjatakan pisau lipat, kerambit kecil dan besi buku lima. 

"Mangsa yang ketika itu sedang memangku anaknya berusia dua tahun terpaksa berundur bimbang dengan ancaman tersebut. 

"Kumpulan suspek itu kemudiannya melakukan ugutan jenayah sehingga mengakibatkan dia dan keluarganya berasa trauma," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Kata sumber itu, antara ugutan diterima termasuk kau nak mati ke, aku bunuh kau sampai mati; aku tembak kau bagi mati, aku tetak kau dan ini Klang aku pegang la.

Sumber sama turut memaklumkan insiden tersebut telah disaksikan oleh 50 orang awam termasuk peniaga di pesta berkenaan. 

"Berdasarkan siasatan awal mendapati punca kejadian susulan kumpulan tersebut tidak berpuas hati dengan menggangap mangsa merupakan pemberi maklumat terhadap kegiatan kongsi gelap dan jenayah mereka," tegasnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan menerima laporan berkaitan kes tersebut dan telah menahan seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan. 

"Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur kongsi gelap dan sentuhan atau kecederaan dialami oleh kesemua mangsa. 

"Siasatan juga mendapati berlaku perselisihan faham di antara mangsa dan pertubuhan badan bukan kerajaan," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE