Tertuduh, Mohd. Farid Abdul, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Mengikut enam pertuduhan Mohd. Farid sebagai Pembantu Hal Ehwal Ekonomi Peladang telah memalsukan dokumen dengan menukarkan saiz sawah yang dipajak bagi membolehkan tuntutan lebihan dibuat berjumlah RM22,992 dari nilai sebenar.

Dia melakukan perbuatan itu di Pejabat Peladang negeri di sini antara Mei 2016 hingga Oktober tahun yang sama didakwa mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan.

Bapa kepada empat anak itu turut berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi tujuan membolehkan tuntutan sawah yang dipajak sebanyak RM10,450 dibuat pada Jun tahun yang sama di lokasi yang sama.

Dia turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan tanpa balasan berjumlah RM1,500 melalui transaksi bank masing-masing pada 18 dan 21 Jun 2016.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohd. Farid boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Awang Shamsul Baharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pembelaannya, Mohd. Farid merayu hukuman yang ringan dengan alasan perlu menampung keluarga dan menyesal dengan perbuatannya itu.

Dia yang telah 16 tahun berkhidmat turut mendakwa melakukan kerja dengan baik sepanjang bekerja di Peladang negeri.

Mahkamah kemudian menetapkan penjara selama 12 bulan terhadap lapan pertuduhan dan 15 bulan bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan berjalan serentak bermula hari ini terhadap tertuduh. - K! ONLINE