Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, Shamsul Iftitah Husnan, 32, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, Shamsul Iftitah dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Bandar Seri Bandi dekat sini dari tempat kerjanya di Felcra Kampung Wa, Dungun.

"Kejadian berlaku selepas motosikal ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah kereta Proton Wira yang mengalami kerosakan dan diletakkan di tepi lebuh raya.

"Kereta itu dikatakan mengalami masalah bateri dan siasatan awal mendapati pemandunya telah mengambil langkah keselamatan dengan memasang lampu kecemasan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, berdasarkan keterangan awal pemandu kereta Proton Wira terbabit, Shamsul Iftitah juga gagal perasan isyarat susulan yang cuba diberikannya. - K! ONLINE