Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai pegawai kerajaan mereka seharusnya bertindak secara profesional dan tidak menerima arahan daripada ahli politik.

Katanya, setiap permohonan yang diterima berkaitan cabang tugas mereka perlu diteliti mengikut merit, proses dan peraturan sedia ada.

"Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang. Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik. Jika berlaku sesuatu siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?.

"Justeru, kalau dia bersekongkol, dia harus bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bicara Minda bertajuk Kesejahteraan Untuk Semua Bersama beliau di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, kerajaan juga telah menukar slogan yang selama ini digunakan dalam kalangan kakitangan kerajaan khususnya pegawai iaitu 'saya menurut perintah' kepada 'saya yang menjalankan amanah'.

Ujar beliau, penukaran slogan tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Sehubungan itu, perlu dibuat peruntukkan undang-undang bagi membolehkan pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana pegawai kerajaan yang bersengkokol dengan arahan yang tidak mematuhi proses dan prosedur sedia ada," jelasnya. - K! ONLINE