Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, pemilik rumah berkenaan, Mohamad Fahmi Hashim, 32, hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jiran melalui panggilan telefon selepas merasa gegaran sebelum mendapati tembok batu berkenaan yang dibina berhampiran sawah runtuh.

Menurut Mohamad Fahmi, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarganya sedang menonton televisyen di dalam rumah dan langsung tidak menyedari kejadian tersebut ekoran hujan lebat.

Katanya, sebaik mengetahui kejadian itu, dia terus keluar untuk meninjau kawasan tersebut dan terkejut apabila melihat tembok sepanjang 30 meter itu menyembah bumi.

“Saya memang ter­kejut ketika melihat separuh tembok rumah setinggi lima meter itu roboh dan ia merupakan kejadian pertama yang berlaku sejak empat tahun saya mendiami rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Jiran mangsa, Nadra Afida Mohd. Nasir, 39, berkata, dia menyangka gegaran yang dirasai adalah gempa bumi menyebabkannya terus keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya rasa pelik dan terus meninjau ke luar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan tidak lama kemudian saya melihat tembok batu berkenaan runtuh dan terus menelefon Mohamad Fahmi,” ujarnya.