Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya telah merancang pelaksanaan penugasan khas pada kawasan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan sehingga menyebabkan kesesakan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mereka meletakkan halangan di kawasan tertentu untuk mengelakkan kesesakan jalanraya.

“Pihak polis juga akan menyediakan pasukan bergerak untuk memantau jalan yang sesak dan sekiranya berlaku keadaan yang di luar jangkaan,” katanya pada sidang akhbar Penugasan Khas JSPT Bukit Aman sepanjang bulan Ramadan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Azisman menambah, pihaknya mempunyai anggota yang mencukupi dan sentiasa bersedia dalam menangani masalah kesesakan jalan raya walaupun terpaksa berbuka puasa di lokasi bertugas.

“Peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan berniaga di tepi jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan.

“Sifat penyabar dan berhemah perlu ditanamkan di dalam diri orang ramai selain mematuhi arahan yang diberikan oleh anggota trafik di lokasi,” ujarnya. - K! ONLINE