Dengan mengekalkan tema, ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', operasi berkenaan bermatlamat bagi mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pelaksanaan Op Selamat pada tahun lepas memberikan impak berkesan dalam menurunkan kadar kes kemalangan maut dan kematian.

Menurutnya, sebanyak 235 kes kemalangan maut direkodkan tahun lepas berbanding 261 pada tahun 2016, manakala kes kematian pula merekodkan penurunan sebanyak 22 kes iaitu 257 kes pada tahun lepas berbanding 279 kes pada 2016.

“Beberapa punca kemalangan maut dikenal pasti antaranya kecuaian, masuk ke laluan bertentangan, memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dan faktor fizikal seperti mengantuk,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat Ke-12 sempena Tahun Baru Cina 2018 dan Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Zon Tengah di  kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam, di sini hari ini. - Bernama