Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi harun berkata, pihak polis sudah menemui petunjuk baru dalam kes berkenaan termasuk gambaran bagaimana transaksi data itu terlepas ke tangan pihak ketiga.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ada kalangan kakitangan sebuah syarikat mengambil kesempatan ketika pihak syarikat tersebut melakukan proses pemindahan data.

“Siasatan berhubung isu kebocoran maklumat peribadi kira-kira 56 juta pelanggan telefon nombor mudah alih itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan setakat ini kita telah mengenal pasti mereka yang terlibat.

“Isu ini merupakan satu perkara yang serius dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca di sebalik kebocoran maklumat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Perhimpunan Pegawai Awam PDRM (PACSU) ke -11 di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, laman web rasmi Lowyat.net menerusi satu artikel mendedahkan lebih 50 juta rekod pelbagai syarikat telekomunikasi dijual dalam talian dan siasatan lanjut mendapati ia mungkin satu kes kecurian data terbesar dalam sejarah Malaysia.

Antara data yang terkandung termasuk nama, alamat surat-menyuarat, nombor telefon bimbit, nombor kad sim, jenis telefon bimbit dan juga kad pengenalan pelanggan. - K! ONLINE