Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan tegas itu perlu kerana dasar tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama kepada semua rakyat.

Katanya, selaku hotel antarabangsa, sepatutnya pihak pengurusan hotel terlibat lebih rasional dalam isu-isu hak asasi seperti ini yang sering diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

"Jadi saya minta PBT siasat perkara itu dan jika terbukti benar larangan tersebut, lesen mereka perlu ditarik. 

"Hotel tersebut tidak sepatutnya beroperasi di negara ini,'' katanya kepada pemberita selepas melawat anggota bomba yang terlibat dengan kemalangan semasa bertugas di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM negeri , Datuk Yahya Madis 

Noh mengulas laporan sebuah portal berita berhubung pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung. - K! ONLINE