Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendirian Malaysia sekiranya berlaku konflik keutamaan penyelesaiannya adalah melalui rundingan.

"Kita harap keamanan akan kembali pulih di Syria dan rantau berkenaan yang sudah berpuluh tahun bergolak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karom Antarabangsa Kelantan di sini hari ini.

Kata beliau, rakyat negara ini harus mengambil iktibar daripada kejadian yang sedang berlaku di Syria untuk mereka terus bersatu dan bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian selama ini.

Pada Jumaat lepas, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Britain dan Perancis dilaporkan melancarkan serangan udara bersepadu ke atas Syria dengan alasan bagi menghukum rejim itu kerana melakukan serangan senjata kimia.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata, Malaysia amat bimbang penggunaan senjata kimia dan serangan udara akan memburukkan lagi keadaan konflik di Syria, sekali gus meningkatkan penderitaan penduduk awam di negara itu serta menjerumuskan seluruh rantau berkenaan ke kancah kerumitan. - Bernama