Suami kepada Ezatty, Azwan Kombos ketika dihubungi Kosmo! berkata, pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan keadaan isterinya sudah semakin pulih.

“Keadaan Ezatty telah beransur pulih. Sakit-sakit yang dialaminya telah hilang. Cuma, keadaan emosinya kurang stabil kerana masih panik apabila diminta untuk melakukan pembedahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Azwan memberitahu, Ezatty mula mengadu sakit bahagian dada sekitar 10 hari lalu. 

Biarpun telah pergi ke klinik dan mengambil ubat, sakit yang dialami Ezatty masih tidak hilang.

Azwan akhirnya membawa Ezatty ke Hospital Pusrawi di sini dan doktor menyarankan supaya isterinya menjalani pembedahan mengeluarkan nanah dengan segera.

Dalam pada itu, Azwan berkata, dia dan Ezatty akan lebih prihatin dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga pada masa akan datang.

“Pengajarannya, saya dan Ezatty akan lebih berhati-hati. Jika mengalami sebarang sakit, saya akan cepat ke hospital bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi,” katanya.

Azwan memberitahu, Ezatty perlu mencuci luka pembedahannya selama seminggu sehingga luka tersebut pulih sepenuhnya.

Azwan dan Ezatty bernikah pada Julai 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Harum Dahlia pada 6 Disember lalu. - K! ONLINE