Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO memerlukan satu hari tambahan bagi membolehkan Perlembagaan parti dipinda.

“Kita telah pun bersetuju PAU diadakan pada tarikh 13 hingga 16 November kerana memerlukan satu hari tambahan untuk mengadakan EGM yang mana parti sekarang sedang dalam proses untuk meminda Perlembagaan parti.

“Untuk menyesuaikan perlembagaan parti yang mana kita ada sekarang bukan sebagai parti kerajaan, dulu kita punya Perlembagaan terlampau rigid, kita punya cadangan untuk pinda antara lainnya adalah membuka seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut memaklumkan tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan.

“Jika dulu tempoh mengadakan mesyuarat Cawangan diberikan daripada 15 Februari hingga 30 April, tetapi telah dipanjangkan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut.

"Tahun ini dipanjangkan daripada 15 Februari hingga 30 Mei, masih ada masa lagi," katanya.

Katanya, ini memandangnya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dan penyertaan daripada banyak bahagian-bahagian dalam Negeri Sembilan sendiri dan juga dokongan daripada bapa-bapa angkat di seluruh negara termasuk Perhubungan UMNO Negeri juga menghantar banyak jentera dalam PRK tersebut.

“Mereka juga terlibat secara langsung dalam PRK Rantau, maka pihak pengurusan UMNO dan telah dipersetujui oleh pihak Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk kita memanjangkan tempoh.

"Tempoh dipanjangkan untuk memberikan ruang kepada cawangan-cawangan agar tidak tergesa-gesa mengadakan mesyuarat di kawasan masing-masing," ujarnya. - K! ONLINE