Mereka antara 42 PATI yang ditahan dalam operasi selama sembilan jam bermula pukul 5. 30 petang.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap kehadiran warga asing di pasar raya, 
pusat hiburan dan snooker di daerah Ampang.

Katanya, serbuan turut dilakukan di sebuah rumah sewa kondominium di Klang.

“Ada antara PATI cuba melarikan dengan bersembunyi di dalam peti sejuk sebuah pusat snooker namun gagal.

“Turut ditahan dalam serbuan itu adalah gadis pelayan pelanggan (GRO) ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, PATI yang ditahan melibatkan 21 warga Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (4), Vietnam (3), India (2) dan masing-masing satu bagi Sri Lanka dan Pakistan.

Jelas Mohamad Shukri, kesemua yang ditahan berusia setahun hingga 54 tahun atas kesalahan tidak memiliki, tamat tempoh serta menyalahgunakan permit.

“Mereka yang ditahan telah dibawa ke pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor bagi tujuan pemeriksaan dan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. - K! ONLINE