Mereka merupakan antara 33 PATI yang ditahan dalam serbuan Ops Bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri yang bermula pada pukul 9.15 malam semalam dan berakhir pada pukul 10.50 pagi ini.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, bertindak atas maklumat orang ramai dan hasil risikan, seramai 14 penguat kuasa imigresen menyerbu kilang tersebut.

"Seramai 33 warga asing terdiri 14 lelaki dan 13 perempuan warga Myanmar serta dua lelaki dan empat perempuan warga China ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 56 tahun.

"Siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Mereka juga didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah," ujarnya.

Tambahnya, semua PATI ditahan di lokap imigresen di bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar dekat sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini. - K! ONLINE