Dalam serbuan Op Mega selama lima jam bermula pukul 9 malam itu, 88 PATI berjaya ditahan berusia  22 hingga 55 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, semasa serbuan dilakukan di rumah kongsi di tapak pembinaan, Sungai Buloh itu mendapati kebanyakan warga asing sedang lena tidur. 

Beliau yang turut serta dalam operasi itu memberitahu, PATI yang terkejut dengan kehadiran kami kemudiannya bertempiaran lari.

"Ada segelintir mereka cuba melarikan diri dengan meredah semak dan sembunyi di dalam longkang berair bagi menyelamatkan diri namun gagal akibat kawasan berkenaan telah dikepung.  

"Hasilnya, kita berjaya menahan seramai 79 PATI berjaya ditahan hasil pemeriksaan terhadap 325 warga asing di kawasan berkenaan,"katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau menambah, pihaknya turut menahan sembilan PATI yang sedang bekerja di sebuah kilang pembungkusan di daerah ini. 

Jelas beliau, secara keseluruhan mereka yang ditahan  melibatkan 79 lelaki dan sembilan wanita.

"Mereka terdiri daripada 48 orang warga Indonesia, Bangladesh (37), Nepal (2) dan masing-masing seorang warga Myanmar dan Pakistan.

"Kesemua PATI kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor dan akan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. - K! ONLINE