Lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan terhadap lelaki warga Indonesia berusia 30an itu didapati telah tinggal lebih masa di negara ini.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, lelaki tersebut antara 25 PATI yang ditahan pihaknya dalam serbuan selama tujuh jam bermula pukul 4 petang di daerah ini dan Puchong.

Katanya, pihaknya telah mengempur empat buah premis melibatkan restoran dan gerai medan selera, kedai menjahit pakaian serta pusat hiburan.

"Sepanjang operasi itu, didapati seorang lelaki PATI warga Indonesia telah cuba merakam aktiviti penguatkuasaan dari kawasan berhampiran sebuah restoran yang diserbu pihaknya.

"Hasil pemeriksaan terhadap 32 individu di empat buah premis itu telah menahan 25 daripadanya yang merupakan PATI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kesemua PATI yang ditahan 16 warga Thailand. Indonesia (7) da Bangladesh (2) termasuk tiga orang kanak-kanak berusia 3 hingga 55 tahun.

Ujar Mohamad Shukri lagi, berdasarkan siasatan awal mendapati mereka yang bekerja di bahagian premis makanan khususnya digaji di antara RM20 hingga RM30 sehari.

"Kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang permit yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya. - K! ONLINE