Dalam Operasi Mega kira-kira pukul 11 pagi hingga 4 petang semalam itu, kesemua PATI tersebut sempat meloloskan diri ke kawasan hutan dan kebun kelapa sawit berhampiran.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, pihaknya bagaimanapun berjaya menahan seramai 58 warga asing yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Kata beliau, serbuan pertama di kilang papan di Bukit Selambau berjaya menahan seramai 28 PATI di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak mempunyai sebarang pas atau permit sah.

"Kira-kira 30 PATI sempat melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit apabila pengawal keselamatan kilang itu enggan membuka pintu pagar utama premis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zuhair, dalam serbuan kedua di tapak pembinaan di Bandar Sungai Lalang, seramai 30 lagi PATI ditahan.

"Tangkapan melibatkan 16 lelaki dan tujuh perempuan Indonesia; 15 lelaki dan empat perempuan Myanmar; sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki Nepal dan tiga lelaki Pakistan," katanya. - K! ONLINE