Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan khas berkenaan akan dianggotai oleh empat kementerian dan tujuh agensi bagi melakukan operasi secara menyeluruh untuk menangani isu tersebut.

"Kes pencerobohan nelayan asing bukanlah isu baharu tetapi mutakhir ini, ia semakin meningkat mengikut musim dengan membabitkan nelayan dari Vietnam khususnya yang menceroboh tanpa mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa. 

"Jadi agensi dalam pasukan khas ini akan mengatur operasi khas dalam tempoh segera supaya aset iaitu kapal-kapal dalam agensi berkaitan dapat digerakkan secara lebih tersusun hingga ke peringkat pencerobohan ini tidak berlaku lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di KDN di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Selain KDN, tiga kementerian yang terbabit dalam pasukan khas itu ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar.

Tujuh agensi pula ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Salahuddin menegaskan pihaknya tidak pernah sesekali memberikan lesen atau permit kepasa nelayan asing untuk beroperasi dalam perairan negara.

"Itu tidak pernah berlaku. Ini merupakan sesuatu yang mungkin berlaku penyelewengan di mana mereka mempergunakan lesen-lesen tertentu," katanya.

Berdasarkan statistik, sebanyak 53 tangkapan vesel nelayan asing dibuat dari Januari hingga April tahun ini di bawah Akta perikanan 1985.

Angka itu lebih tinggi berbanding 42 kes pada tahun 2018 dan 52 kes pada tahun sebelumnya. -K! ONLINE