Pengusaha kebun durian berkenaan di daerah ini menyifatkan kejatuhan harga durian jenis itu antara RM20 dan RM30 sekilogram di pasaran tempatan disebabkan permintaan berkurangan berikutan saingan dengan lambakan durian jenis biasa.

Seorang pengusaha, Chong Yok Fon, 50, percaya kejatuhan harga itu bersifat sementara dan dijangka beransur pulih minggu depan apabila buah durian itu memasuki pasaran eksport.

Beliau berkata sebelum ini durian 'Musang King'dieksport ke Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.

"Kejatuhan  harga itu sudah biasa berlaku dan apabila harga kembali pulih akan dapat memberi semula keuntungan kepada pengusaha  walaupun belum mencapai harga antara RM50 dan RM60 sekilogram," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kebun durian 'Musang King' yang diusahakannya di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Pulai di sini akan mula mengeluarkan hasil minggu depan.

Katanya, 500 pokok durian yang ditanam sejak 20 tahun lepas dijangka mengeluarkan hasil kira-kira 4,000 biji durian pada tahun ini.

"Memang ada sedikit kemerosotan pengeluaran durian jenis ini di kebun saya tahun ini berbanding tahun lepas yang mencapai 10,000 biji," katanya. - Bernama