Menurut Pengerusi Kelab Memancing dan Rekreasi Perlis, Mohd. Noor Hashim, 55, berkata, pasar terapung itu menawarkan tarikan tersendiri kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Konsep pasar terapung ini sama seperti di Kelantan dan pasar terapung Klong Hae di Hatyai, Thailand.

"Pelanggan yang hadir dapat membeli pelbagai jenis makanan dan minuman seperti pulut, nasi ayam, laksa, kerabu mi segera dan som tam.

"Selain itu, jualan buah-buahan tempatan dan ikan segar seperti ikan pari, temenung dan selayang turut dilakukan dengan harga yang istimewa," katanya kepada pemberita semasa perasmian Floating Market Pengkalan Tok Kuning di sini hari ini.

Terdapat 10 peniaga yang melakukan jualan terus dari bot nelayan pada majlis perasmian itu.

Selain jualan itu, terdapat perkhidmatan menaiki bot nelayan bagi menyelusuri sungai Perlis dari Jeti Nelayan Pengkalan Tok Kuning menuju Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis di sini sepanjang enam kilometer dengan bayaran RM6 seorang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Nor berkata, Pasar Terapung Pengkalan Tok Kuning itu akan beroperasi dua kali sebulan bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.

"Suhu sejuk sikit dan lebih indah dengan cahaya lampu-lampu hiasan yang berwarna-warni terutama pada waktu malam," katanya. - K! ONLINE