Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, rumah didiami Hamid Omar, 84, dan isterinya, Siti Hajar Ismail, 76, merupakan antara lebih 50 buah rumah dengan 251 mangsa yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Alor Pinggu, Kampung Haji Lateh, Kampung Haji Hashim, Kampung Batu 11 dan Kampung Gelam.

Menurut Hamid, ketika kejadian dia dan isteri berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi deruan angin yang sangat kuat.

"Saya dan isteri terus berlindung di dalam rumah kerana hari hujan sebelum terkejut mendengar bunyi seperti kayu jatuh dari tingkat atas rumah," katanya ketika ditemui di pusat operasi di Kampung Haji Lateh di sini hari ini.

Katanya, selepas kejadian reda, dia tidak dapat keluar dari rumah kerana runtuhan tingkat atas rumah yang berstrukturkan papan menghalang pintu rumah.

"Kami diselamatkan oleh jiran setengah jam kemudian dan sebaik keluar, saya tergamam melihat keseluruhan tingkat atas rumah berusia lebih 50 tahun ini ranap," ujarnya. - K! ONLINE