Tertuduh, Shah Riman Rajah Abdullah, 57, dan Norul Hanum Mohamed Hussain Albari, 42, yang juga pengarah syarikat membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos.

Bagi pertuduhan pertama, mereka sebagai pengarah syarikat berkenaan didakwa secara curang menyalahgunakan wang RM500 milik seorang lelaki berusia 32 tahun di Rahang Square di sini kira-kira pukul 3 petang pada 11 Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan suami isteri itu didakwa sebagai pengarah syarikat secara curang menggunakan wang RM500 milik seorang lelaki berusia 22 tahun, kira-kira pukul 9 malam pada 27 Februari lalu di Senawang.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka sebagai pengarah syarikat didakwa secara curang menggunakan wang RM1,500 milik seorang lelaki di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 22 Februari lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, kedua-dua mereka didakwa menggunakan wang RM5,000 milik seorang lelaki di Pusat Perniagaan Senawang Jaya, kira-kira pukul 3.30 petang pada 8 Mei lalu.

Tertuduh masing-masing didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri menawarkan ikat jamin RM28,000 terhadap kedua-dua tertuduh, namun peguam K. Vijayasundra Thevar memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Menurut Vijayasundra Thevar, kedua-dua tertuduh perlu menanggung anak yang masih kecil dan Shah Riman menghidap sakit jantung serta diabetes.

Mahkamah menetapkan jaminan RM11,000 seorang bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran dan tarikh 15 Ogos depan untuk sebutan kes. - K! ONLINE