Dalam kejadian itu, kedua-duanya yang berusia 66 dan 67 tahun cedera pada pergelangan tangan dan tidak sedarkan diri hampir 20 jam. 

Pasangan tersebut kini menerima rawatan di Hospital Melaka di sini dan  dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian pasangan tersebut berada di dalam rumah dan mangsa lelaki sempat memaklumkan mengenai kejadian samun itu kepada anak saudaranya yang tinggal berdekatan.  

"Setibanya di lokasi, pasukan polis mendapati pasangan pesara kerajaan itu berada dalam keadaan lemah. 

"Berdasarkan maklumat daripada anak saudara mangsa, kedua-dua mangsa disamun dan diikat menggunakan kabel telefon sebelum mereka dipaksa menelan tiga biji pil besar serta tiga biji pil kecil, yang masih belum diketahui jenisnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Afzanizar memberitahu, pemeriksaan di lokasi turut menjumpai sebilah pisau pemotong sayur sepanjang enam inci dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut. 

"Kita percaya senjata itu diambil dari rumah mangsa dan kejadian dilakukan lebih dari seorang suspek. 

"Siasatan lanjut masih diteruskan dengan jumlah kerugian setakat ini membabitkan wang tunai  RM3,000 dan dua buah telefon bimbit," katanya. 

Operasi memburu suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE