Malah majlis tersebut yang dihadiri lebih 500 tetamu turut diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.

Menurut Nurfarahasmat, walaupun dilahirkan dalam keluarga Melayu namun tradisi kaum Cina seperti tarian naga ini amat dekat dengan masyarakat Pasir Mas.

"Di Kelantan kita mempunyai masyarakat Cina Peranakan Kelantan dan majoriti komuniti itu ramai yang tinggal di sekitar Pasir Mas ini. Cara hidup mereka juga sama dengan masyarakat Melayu di negeri ini.

"Jadi saya fikir tidak salah saya menampilkan sisi budaya masyarakat setempat kepada hadirin. Malah, persembahan Muay Thai turut dipersembahkan dengan kibaran Jalur Gemilang pada majlis ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Mohd. Rizuwan yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas berkata, rata-rata tetamu yang hadir berasa teruja dengan kelainan yang dilakukan itu.

"Uniknya majlis saya ini para tetamu turut sama-sama menyanyikan lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang," ujarnya.

Pada majlis berkenaan, pasangan tersebut mengenakan dua pasang persalinan masing-masing berwarna merah dan biru yang merupakan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang. - K! ONLINE