Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sepasukan anggota membuat serbuan ke rumah tidak bernombor tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Serbuan menemui seorang lelaki dan perempuan duduk di kaki lima belakang rumah itu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudian menghampiri kedua-dua suspek dan pemeriksaan menemui satu beg kecil di atas lantai,” katanya 
dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan menemui empat keratan straw dan satu peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 3.79 gram.

“Kita turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.1 gram,” ujarnya.

Menurut Mohd. Iqbal, hasil siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali 
sebagai Mat sejak sebulan lalu.

“Suspek mendakwa berurusan dengan individu terbabit sekali atau dua kali seminggu yang mana setiap kali berurusan, 
suspek mengambil antara 10 hingga 15 gram dadah,” katanya.

Tambahnya, pasangan kekasih masing-masing berusia 31 dan 25 tahun serta tidak bekerja itu juga didapati positif dadah jenis morfin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga sedang mengesan individu bernama Mat itu untuk tindakan lanjut,” katanya. -K! ONLINE