Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, piagam tersebut tidak akan mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini malah ia turut disokong parti-parti politik utama bukan Islam dan Melayu.

Beliau memberitahu, Himpunan Penyatuan Ummah yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sempena majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional terbabit akan disertai kepimpinan daripada MCA dan MIC selain Dewan Himpunan Penyokong Pas.

"Saya difahamkan himpunan akan juga dihadiri parti bukan Islam, MCA dan MIC. Sepatutnya mereka dengar dahulu ucapan pemimpin (dalam perhimpunan tersebut)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringat Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Piagam Muafakat Nasional oleh UMNO dan Pas sebagai cubaan untuk bermain dengan isu agama dan kaum.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut menasihatkan parti-parti pembangkang sepatutnya berdebat berhubung dasar dan polisi kerajaan bukannya memainkan isu-isu sensitif dalam kalangan masyrakat majmuk di negara ini. - K! ONLINE