Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bantuan kepada rakyat yang berpendapatan rendah atau miskin tidak sepatutnya dihapuskan sebaliknya wajar diteruskan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

"Apa yang penting konsep membantu orang miskin adalah konsep yang perlu dikekalkan dan perlu dilakukan pembaikan * jangan dihilangkan begitu sahaja. Kena usahakan supaya betul-betul dapat mengatasi masalah kemiskinan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program melabuh unjam di perairan Marang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Azman Ibrahim.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata pemberian BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat. - Bernama